ILMU ITU PERLU DIKONGSI DAN DIAMALKAN

Monday 31 December 2012

7 Huruf Keramat.

ALLAH aturkan antara kita 1 pertemuan ditetapkan 2 hati. Dalam 2 hati diberikan 4 rasa. BERKENALAN, BERTEMAN, BERKAWAN dan BERSAMA. Dalam 4 perkara itu tersembunyi 5 perkataan iaitu;
SAYANG, KEKAL, SETIA, MENGERTI, MENGHARGAI dan MENGINGATI.  7 huruf keramat iaitu;
                                   SAHABAT.

Dan ketika ini sahabat ini faham kenapa puisi ini ditulis;
Jika ku pergi 
usah basahkan pipi mungelmu dengan air mata
kerana pamitku sementara
bagaikan seekor camar
yang singgah bertenggek di tiang-tiang kapal
tegak berdiri menerjah biru langit
simpan air matamu
kerana perlisahan di sini
umpama surut air laut meninggalkan bibir pantai
yang resah ditikam panas mentari
sambil menanti air laut kembali lagi
usah titiskan air matamu pada sebuah kehilangan
tapi basahkan air matamu pada setiap kenangan
yang sama kita lukiskan di garis langit
sambil itu kuharap
sewaktu rindu bertaut
kau renjiskan kenangan dengan wangian zikirullah
kerana pergiku kali ini adalah satu kepastian!

Persahabatan kekadang sakit apabila disalahertikan.....
 

Tuesday 25 December 2012

Emosi dan emosional

Setiap detik sepanjang 24 jam laluan drama kehidupan yang dilakonkan oleh kita, pasti akan penuh dengan emosi. Tak sesaat pun kita meninggalkan emosi. Kita akan beremosi apabila kita suka. Emosi juga lebih ketara dizahirkan apabila kita berduka. 'Emosional' yang kadang-kadang buat kita lupa, bahawa tindakan kita yang mengguris hati dan perasaan.....

Namun,

Dalam sabar ada maaf, dalam sabar ada redha, dalam sabar ada syukur, dalam sabar ada usaha, tawakal dan takwa. Dalam sabar tiada kedengkian, tiada keluhan, tiada putus asa. Dengan sabar, hati jadi tenang dan makin dekat pada-Mu.

Dan... Allah SWT mencintai orang-orang yang sabar!

Kadang kala Allah tarik sesuatu daripada kita kerana Dia ingin berikan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Apabila kita REDHA pada sesuatu yang mengecewakan hati kita, maka percayalah ALLAH SWT akan menggantikan kekecewaan itu dengan sesuatu yang tidak dijangka....! 

Rahsia ini telah lama aku pendamkan.......

Monday 10 December 2012

Siapa Kita?!

Berjalan menelusuri kehidupan yang pasti akan berakhir membawa banyak kutipan pahala dan dosa, begitu juga suka dan duka. Tanpa kita sedar, ada kalanya kita dihadapkan dengan pelbagai dugaan dan cabaran yang tiada siapa pun di dunia ini berkehendakkannya. Kita bersedih dan berduka tanpa kita tahu rupanya itulah jalan menempuh syurga....Keriangan dan kegembiraan yang tanpa kita sedar adakalanya adalah pembuka kepada jalan neraka!

Kadang-kadang kita terlalu banyak merancang, tetapi kurang memohon untuk diperkenankan. Kadang-kadang kita terlalu banyak berfikir tetapi kurang tawakal. Kadang-kadang kita terlalu banyak risau dan kurang optimis. Kerana kadang-kadang kita terlupa ujian itu tarbiah Allah. 

Jangan bermimpi mencipta kebahagiaan, jika tidak mampu memupuk sabar melalui kekecewaan. Jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan, jika tidak mahu berusaha untuk memperbaiki diri melalui kesalahan. Jangan mendambakan dan meminta berlebih-lebihan, jika tidak tahu untuk bersyukur dan berterima kasih atas pemberianNya. 

Justeru, jawapan mudahnya ialah kita semua adalah hamba Allah yang perlu taat kepadaNYA...

Merindui kegembiraan lalu..........

Monday 12 November 2012

Hidup.....

Ketika "kaki" sudah tak kuat berdiri berlututlah
Ketika "tangan" sudah tak kuat menggenggam lipatlah
Ketika "kepala" sudah tidak kuat ditegakkan menunduklah
Ketika "hati" sudah tidak tak kuat menahan kesedihan menangislah.
Ketika "hidup" sudah tidak mampu untuk dihadapi..... berdoalah!

Hidup adalah belajar....
Belajar bersyukur meski tak cukup.
Belajar ikhlas meski tak rela
Belajar taat meski berat.
Belajar memahami meski tak sehati.
Belajar sabar meski terbebani
Belajar setia meski tergoda
Belajar memberi meski tak seberapa
Belajar mengasihi meski disakiti
Belajar tenang meski gelisah.
Belajar percaya meski susah!

Monday 29 October 2012

Hati dan Jika

Hati yang berada dalam kesakitan, mampukah ditampalkan dengan ketabahan buat pengubat diri? Hati yang dalam pengkhianatan dan tohmahan, mampukah ditampalkan dengan kesabaran sebagai pengawal emosi?!
Dan...
Hati yang di dalam ketakutan, kita tampalkan dengan ketakwaan menjadi pendinding diri. Hati yang di dalam keraguan,  kita tampalkan dengan keyakinan mencari petunjuk Allahurabbi. Hati dalam kekecewaan, kita tampalkan dengan kepasrahan menggapai redha Ilahi.

Justeru..
Jika perlu marah, marahlah... tetapi usah terlupa dengan perkataan sabar. Jika perlu menangis, menangislah tetapi usah terlupa dengan perkataan tenang. Jika perlu patuh, patuhlah, tetapi jangan sampai hilang kemerdekaan. Jika mahu miskin, miskinlah... tetapi jangan terlalu miskin, nanti mudah menjadi kufur. Jika mahu kaya, kayalah, tetapi jangan terlalu kaya sampai terlupa perkataan sedekah. Jika mahu menjadi warak, lakukanlah ibadah sebanyak-banyaknya tetapi jangan terlupa keperluan dunia.........


Jika mahu melihat bulan, intailah di malam yang tenang lagi sepi!

Saturday 6 October 2012

Setiap kita ada peminatnya

Jika kita tidak diminati di alam nyata usahlah terlalu bersedih, kerana kita ada peminatnya di alam ghaib. Siapakah yang meminati kita di alam ghaib?! Sekurang-kurangnya qarin kita adalah peminat kita yang utama. Cuma oleh kerana qarin adalah sejenis jin yang kerjanya adalah bertentangan dengan kehendak kebaikan yang ingin kita lakukan. Ia adalah peminat yang tidak boleh kita 'suka', namun ia tetap peminat yang paling hampir. 
Usah hargai peminat ini kerana kita ada satu lagi peminat yang lebih baik. Ia adalah malaikat yang kerjanya membisikkan perkara-perkara yang baik pula. Jadi usah terlalu hampa jika kita tidak diminati di alam nyata, sekurang-kurangnya di alam ghaib ada dua jenis makhluk yang sangat pedulikan kita!

Ingatlah. 
Sepahit apa pun kejadian, apabila kejadian itu membuatkan diri semakin kenal dan dekat dengan Allah, itu adalah kurniaan yang amat berharga. Tetapi, semanis apa pun kejadian apabila membutakan hati dan menjauhkan diri dari Allah, itu adalah sebenar-benar musibah...! 


Hargailah usia, jangan sakitinya kerana usia itu adalah anugerah Allah. Selarikan cita rasa dengan usia kita...............

Thursday 27 September 2012

Apabila jiwa KOSONG

Dalam masa 24 jam kehidupan yang dilalui, kita akan melalui pelbagai pengalaman serta akan merasa pelbagai jenis perasaan. Semua itu tetap sahaja berlalu walaupun kita merasakan yang kepelbagaian itu sikit. Namun hakikatnya kepelbagaian itu banyak..... dan tanpa kita sedari kepelbagaian itu cukup memberi pengaruh kepada hari-hari seterusnya.

Andaikan kita memarahi seseorang dan kemudian kita pulang ke rumah. Pada keesokan harinya kita berasakan apa-apa yang berlaku semalam tidak membawa apa-apa kesan dan membiarkannya berlalu.Pada zahirnya sudah berlalu pergi tetapi pada minda bawah sedar, hal itu sudah disimpan untuk digali semula nanti. Oleh itu, apabila berlaku sesuatu yang tidak sesuai dengan pendirian kita , kita cukup mudah naik angin biarpun hanya kerana perkara yang cukup remeh. 

Mungkin kita tidak menyedari bahawa hal-hal ini sebenarnya satu simpanan emosi yang memupuk dari hari ke hari. Jika emosi negatif ini yang dipupuk dan dijadikan simpanan maka satu hari nanti apabila simpanan ini sudah tidak dapat ditampung lagi maka LEDAKAN dan LETUSAN umpama gunung berapi akhirnya akan membawa kebinasaan serta kesengsaraan hidup seseorang. 

Keceriaan adalah hasil emosi positif yang disimpan hasil dari pengalaman nan indah. Bagi mereka yang bijak dalam menguruskan emosi positif, setiap kali mereka bertembung dengan emosi negatif, mereka akan segera mengubahnya menjadi positif agar simpanan positif itu tidak berkurangan.

Justeru,....

Belajarlah BERSYUKUR walau KEKURANGAN
Belajarlah IKHLAS walau TIDAK RELA
Belajarlah TAAT walau BERAT
Belajarlah MEMAHAMI walau TAK SEHATI
Belajarlah SETIA walau BANYAK GODAAN
Belajarlah MEMBERI walau TAK SEBERAPA
Belajarlah MENGASIHI walau kita DISAKITI
Belajarlah TENANG  walau kita SEDANG GELISAH
Belajarlah PERCAYA walau SUSAH....
Percayalah  ALLAH S.W.T masih mahu menolong kita!

JANGAN BIARKAN JIWA JADI KOSONG.


 

Sunday 16 September 2012

Bicara Tentang Hidup dan Cinta

Jika ada orang yang bicara di belakang kita, itu tanda bahawa kita sudah di depan mereka. Jika ada orang yang bicara merendahkan kita, itu tanda bahawa kita sudah berada lebih tinggi dari mereka. Jika ada orang yang mengusik kehidupan kita padahal kita tidak mengusik kehidupan mereka, itu tanda bahawa kehidupan kita lebih baik daripada kehidupan mereka. 

Kita susah, tetapi ada yang lebih susah daripada kita, Kita derita tetapi ada yang lebih derita daripada kita. Kita sedih, tetapi ada yang lebih sedih daripada kita. Kita sakit, rupanya ada yang lebih sakit daripada kita. 

Rupanya kita lebih senang daripada mereka, rupanya kita lebih bahagia daripada mereka, rupanya kita lebih bahagia daripada mereka, rupanya kita lebih gembira daripada mereka. Rupanya kita lebih sihat daripada mereka. Justeru, lihatlah sekeliling terlebih dahulu sebelum mengeluh tentang situasi kita. 

Lalu cinta pun berkata:

Kata Bomba CINTA tak boleh padam
Kata Polis CINTA itu sukar ditangkap
Kata Tentera CINTA itu tidak boleh ditembak
Kata Ustaz CINTA itu anugerah!
Kata Guru CINTA tak boleh untuk dipelajari
Kata Hakim CINTA tak boleh dihukum
Kata Pelukis CINTA itu indah
Kata Ulama CINTA Allah kekal abadi.....

dan kata kita CINTA itu ?!????!!

Simbolik sebuah peperiksaan

Setelah habis musim hari raya dan sambutan hari kemerdekaan ada lagi musim yang membuatkan ibu bapa serba sibuk.Musim anak-anak mengambil peperiksaan . Bermula dengan peperiksaan sekolah rendah iaitu UPSR, diikuti PMR dan seterusnya peperiksaan yang lebih tinggi iaitu SPM dan STPM. Walaupun hanya UPSR dan peperiksaan itu bukanlah penentu kehebatan anak-anak dalam bidang akademik kerana banyak lagi peringkat yang perlu dilaluinya, namun ibu bapa tetap menekankan bahawa apa-apa pun peperiksaan yang akan dilalui harus dilakukan bersungguh-sungguh  dan bersiap sedia sepenuhnya menghadapi perjuangan!
Sedarlah, kadang-kala ibu bapa seperti amat mendesak agar anak-anak memperoleh keputusan yang hebat dan cemerlang dalam setiap peperiksaan mereka. Dari luarannya nampak ibu bapa seperti mementingkan diri. Sebenanrnya peperiksaan itu dari konsep yang tersirat adalah satu bentuk ujian untuk mengukur bagaimana kita menghadapi sesuatu cabaran. Kertas soalan adalah simbolik bahawa untuk mendapatkan sesuatu kita mesti berusaha dengan tekun dan bersungguh-sungguh dan yakin kepada Allah. 
Hidup ini tidak semudah mengira satu. dua dan tiga. Kehidupan adalah kompleks, tetapi apabila kita mahu memahami mengapa kita perlu menyelesaikan sesuatu ujian , cabaran lebih besar bukan lagi ujian. Justeru, marilah kita mendidik anak-anak kita menghadapi ujian hidup mereka bermula dari kertas ujian di sekolah........

Cuma macam mana ye, kalau ujian tu kita dah tahu apa soalan yang ditanya. Adakah itu masih dinamakan ujian????!

Sunday 2 September 2012

Tak perlu lupakan hanya MAAFKAN

Suasana Aidilfitri masih terasa. Pastinya ramai yang sedang mengatur jadual untuk menghadiri undangan rumah terbuka daripada saudara dan rakan masing-masing. Kalau tiada undangan rumah terbuka pu, sewajarnya kita mencari peluang untuk menziarahi sanak saudara dan handai taulan sempena Aidilfitri yang umum mengetahui, kita raikannya selama sebulan juga. Bukan semata-mata ziarah untuk merapatkan hubungan persaudaraan tetapi lebih penting adalah untuk bermaaf-maafan. Apabila memperkatakan tentang maaf sama ada memohon maaf atau memberi maaf, isu yang sering dipersoalkan ialah bagaimana nak memaafkan jika masih tak mampu melupakan. Memang benar, melupakan memang payah. 
Tak perlu lupakan tetapi hanya perlu maafkan. Maafkan bukan hanya di mulut tapi lahirkan kemaafan tersebut daripada hati. Jika dapat memohon dan memberi maaf dengan hati yang ikhlas, memori luka yang masih diingatan takkan lagi memedihkan.

Jika kita marah - TOP UP wuduk untuk menyejukkan jiwa.
Jika kita bingung - KLIK doa agar tenang hati.
Jika kita dipuji - RELOAD syukur supaya tidak alpa.
Jika kita gagal - DOWNLOAD usaha untuk memberi semangat.
Jika Kita kecewa - RESTART tenaga agar sentiasa sedar.
Jika kita berdosa - UNDO perangai itu dan bersolat taubat.
Jika kita berdendam - DELETE - buruk sangka supaya supaya bersih hati
Jika kita berbohong - BACKSPACE kata-kata untuk memperbetulkan keadaan.
Jika kita buat maksiat - RESGISTER SOFTWARE sikap baru dan taubat nasuha.

Kekadang sukar juga nak faham bahasa orang sastera ni....!

Wednesday 8 August 2012

Ketika sibuk menghitung pahala....

Sinar Ramadhan makin ke penghujungnya. Alhamdulillah mampu lagi kita mengucup harum dan wanginya Ramadhan untuk kali ini. Sebuah kedatangan yang ditunggu-tunggu dengan resah, apakah sempat mengulangi keindahannya lagi selepas dia pergi setahun nan lalu. SYUKUR! itulah kalimah yang terbaik untuk diucapkan kerana sudah ramai saudara-mara, sahabat handai dan rakan taulan yang bersama-sama menyirami suburnya Ramadhan tahun lalu, tetapi kali ini mereka sudah tiada. Mereka sudah pergi seperti perginya Ramadhan yang lalu. Pergi yang tiada kembali lagi. 

Dengan  baki Ramadhan yang akan berpenghujung, marilah kita berpuasa dalam erti kata yang sebenar. Berpuasa kerana Allah. Hilangkan segala penyakit hati dan bisikan-bisikan halus yang sering menjadi penghalang segala kebaikan yang mahu kita lakukan. Memang bukan senang kerana kita manusia biasa. Tetapi apabila kita berniat untuk berbuat baik kerana Allah, pasti Allah akan membantu kita meluruskan jalan itu.

Namun perlu diingat, dalam perbuatan baik, kadang kala terpancar sikap riak yang tidak kita sedari. Kerana itu, apabila kita berbuat baik atau menghulurkan kebaikan kepada orang lain atau pada diri sendiri, lakukan dengan penuh keikhlasan. Tidak ada niat lain selain ikhlas. Sebenarnya diri kita kadang kala sukar untuk dinasihati kerana kita tidak nampak kepincangannya. Jangan juga percaya pada pantulan diri di dalam cermin, kerana cermin hanya memantulkan rupa luaran. Rupa dalaman tersimpan dalam sebuah balutan yang tidak terpandang dek mata. Disebabkan itu, kita wajib mendidik dalaman diri sendiri sebelum berusaha mendidik orang lain.Jangan juga kita memandang remeh nasihat dan teguran yang diberikan, kerana daripada nasihat itu kita boleh bermuhasabah diri. Kita juga perlu beringat, jangan terlalu asyik menghitung pahala yang bakal diterima sebagai balasan kebaikan yang dibuat, kerana pahala bukan hak kita untuk menilainya. Hargailah kasih yang diberikan dengan kasih sayang yang ikhlas kerana itulah laluan sebuah bahagia.....!

Tak salah memburu kasih andai masih ada yang sudi memberinya....! 

Tuesday 7 August 2012

Sukarnya memahami HATI

Di sebalik air mata, pasti akan datang senyuman. Di sebalik luka pasti akan datang penyembuh. Di sebalik kesabaran pasti akan datang kebahagiaan. Di sebalik kesulitan pasti akan datang kemudahan.Di sebalik kebencian pasti akan datang kasih sayang. Kesabaran  membuahkan hasil yang sangat manis. Sesungguhnya Allah bersama-sama hamba-Nya yang sabar. 

Maafkanlah, walaupun hati tidak mampu bertahan. Maafkanlah, walaupun hati terpaksa menanggung keperitan. Maafkanlah, walaupun  hati berkata tidak. Maafkanlah, walaupun hati sering disakiti.Maafkanlah, walaupun hati berasa terpaksa. Memaafkan itu lebih baik daripada berdendam kerana dendam itu hanya menambah kesakitan hati yang telah disakiti!!!


HATI: Maafkanlah ......
 


Saturday 4 August 2012

Berkongsilah nikmat ini.....!

Ramadhan.... waktu tengah harinya pasti para wanita yang bergelar isteri akan berbual dan bercerita tentang apa yang ingin dimasak, atau dibeli petang nanti. Topik lain sudah tidak popular dan tidak hangat lagi dibualkan.Mungkin ini lebih baik daripada bergossip tentang orang lain. Bukan orang perempuan sahaja yang sibuk bercertia tentang resepi sedap untuk berbuka, tetapi orang lelaki pun terdorong untuk menjadi tukang masak sendiri. Paling tidak pun, mereka tiba-tiba pandai memesan makanan keinginan pada isteri masing-masing.
Berpuasa bagaikan memberi peluang kepada seseorang 'menjamu' dirinya dengan juadah enak apabila tiba waktu berbuka. Itulah 'kelebihan' puasa yang dapat kita lihat dengan jelas. Jika tidak, masa kan tapak-tapak bazar Ramadhan bagaikan berpesta. Biarpun saranan agar umat islam tidak terlalu mengikut nafsu dan menghayati makna Ramadhan, namun godaan tetap muncul sebaik tiba di tapak bazar Ramadhan. Ramadhan memungkinkan manusia menjadi kreatif dengan menyediakan pelbagai hidangan yang enak dan menyelerakan...!
Keadaannya memang sangat meriah tetapi itukah yang dituntut dalam amalan kita mengerjakan ibadah puasa ini? Ada yang berpendapat jika semuanya sama seperti hari biasa, di mana pula bezanya antara bulan mulia ini berbanding bulan-bulan lain. Jika kita melihat puasa sebagai satu ibadah, semuanya akan terasa lain. Kerana kemuliaan dan keistimewaan Ramadhan terletak pada keberkatannya. Segala amalan kebaikan, pahala yang diterima berlipat kali ganda. Kejayaan menahan nafsu dalam erti kata sebenar adalah kejayaan dan keistimewaan yang sukar diperoleh selain Ramadhan.
Kita boleh menikmati hidangan istimewa tanda betapa bersykurnya kita menerima kedatangan bulan Ramadhan, tetapi dalam masa yang sama kita harus ingat, ketika kita menjamu selera sendiri, adalah jiran kita juga sedang makan seperti kita atau adalah kita sudah memberikan hak kepada anak-anak yatim dan orang - orang susah rasa nikmat makan itu? Jika menikmati semua ini sendirian dan terlupa berkongsi berkongsi rezeki itu dengan mereka yang memerlukan, dimanakah sikap prihatin dan belas kasih kita? Rezeki yang kita hulurkan kepada mereka yang sepatutnya menerima, akan mencerminkan betapa kita benar-benar memuliakan dan mengistimewakan bulan Ramadhan ini. Apabila kita makan berkongsi, nikmatnya bukan sekadar terasa di kerongkong tetapi nikmat itu akan meresap ke seluruh rohani kita. Nikmat yang bakal dikutip di sana kelak. Tidak mahukah kita berkongsi nikmat rezeki itu? Peluang sedang terbuka, marilah kita sama-sama merebutnya.....

Bagaimana agaknya orang yang kuali dan periuknya dipinjam sang beruk hendak memasak untuk juadah berbuka!?!???


Adaptasi : MW


Friday 20 July 2012

Sekadar Renungan

Hidup tanpa ujian.....
kita tak akan kenal erti KETABAHAN.
Hidup tanpa dugaan....
kita tak akan kenal erti KESABARAN.
Hidup tanpa cacian.....
kita tak akan kenal erti KESUNGGUHAN .
Hidup tanpa tohmahan ....
kita tak akan kenal erti KEKUATAN.
Hidup tanpa akal.....
ibarat pohon tanpa BUAH.
Hidup tanpa iman....
ibarat bumi tanpa PAKSI.
Hidup tanpa Allah.....
kamu memang tak layak digelar sebagai KHALIFAH.

Hiduplah kerana Allah.....
bukan kerana manusia .
Hiduplah dengan iman....
kerana iman jaminan kekuatan dan keselamatan selama di dunia yang hanyalah persinggahan .
Hari akhirat jua kita dikekalkan.


MW Julai 2012 

Sunday 8 July 2012

Buat Teman

Jadikanlah yang lembut itu hati,

Jadikanlah yang tipis itu benci,

Jadikanlah yang tebal itu iman,

Jadikanlah yang tajam itu akal,

Jadikanlah yang baik itu sifat,

Jadikanlah yang manis itu SENYUMAN....

Monday 11 June 2012

Cantik di hati

Kegagalan hari ini adalah pendorong, namun kejayaan semalam bukan bermakna kemegahan, oleh itu gantungkan cita-cita setinggi bintang di langit dan rendahkan diri serendah rumput di bumi. Manusia yang berhati suci adalah manusia yang banyak menangis daripada ketawa. Didiklah hati dengan keikhlasan dan kesucian agar liku-liku kehidupan ini menjadi lebih bermakna dan mengikuti perubahan usia. Usah bazirkan nyawa yang berharga dengan menghitung kekhilafan orang lain sebaliknya renungkan dan perbaikilah diri sendiri......! kerana Allah tidak pernah lupa pada janjiNYA.

Saturday 2 June 2012

CANTIK DI HATI

Orang yang cemerlang melihat setiap halangan sebagai peluang untuk mengasah potensi, manakala orang yang tidak cemerlang menganggap setiap halangan sebagai alasan yang menyebabkan kemundurannya...!

Friday 18 May 2012

Soalnya HATI !!!

Hati adalah punca segala aktiviti manusia. Kerana disinilah berpuncanya segala kebaikan, keburukan, kejahatan dan kemaksiatan. Melalui hatilah seseorang itu mampu kembali kepada penciptaNya sama ada dalam keadaan bersih atau sebaliknya...

Hati boleh menjadi baik dan boleh juga menjadi jahat. Ikut bagaimana cara kita mengendalikannya. Ini kerana hati adalah sebuah perasaan yang penuh dengan emosi kerana apabila dipuji ia berasa gembira, sedih dan menderita apabila ia dikeji atau dihina, berasa rendah diri apabila mempunyai kekurangan, berasa megah, apabila ia mendapat kejayaan atau kekayaan. Mulai timbul perasaan riak apabila memepunyai kelebihan ilmu daripada orang lain. Berasa sombong dan angkuh apabila melihat kelebihan orang lain, menyimpan dendam kesumat apabila diri pernah dianiaya, berkeluh kesah apabila susah. 

Dan hati juga mudah bersimpati dengan kesusahan orang lain, mudah berasa terhutang budi kepada yang berbudi dan sentiasa mengucapkan terima kasih kepada orang yang memberi pertolongan. Juga akan berasa tenang apabila jiwa sentiasa berzikir kepadaNya. 

Hati yang berpenyakit akan membawa kemudaratan kepada kehidupan manusia lain. Kerana itu kita hendaklah selalu muhasabah diri agar tidak dijangkiti penyakit hati. Hasad dengki adalah satu daripada penyakit hati. Cara yang paling mudahh untuk keluar daripada rasa dengki ini, dengan selalu mengharapkan atau mendoakan kebaikan untuk orang lain.

Cintailah orang lain seperti kita mencintai diri sendiri. Dengan begitu kita tidak akan sampai hati untuk menyakitinya ibarat satu tubuh, cubit yang kiri, yang kanan juga akan terasa sakitnya. 

Tuesday 1 May 2012

Tebarkan senyuman, raihlah kekuatan

Senyummmm..... hanya dengan senyuman masalah boleh selesai! Dahsyat sungguh impak daripada senyuman rupanya. Namun hakikatnya, senyuman itu bermanfaat hanya apabila kita faham bahawa senyuman itu muncul kerana rasa pasrah, tunduk dan keyakinan yang mantap akan pertolongan daripada Allah. Hal ini akan membantu kira menikmati hidup ini. 
Ketika jiwa kita pasrah, keyakinan kita terhadap pertolongan Allah pun bulat, apalagi kalau kita percaya bahawa setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian, maka tersenyumlah. Lapangkan dada kita. Senyuman adalah tanda ketenteraman jiwa, senyuman juga tanda optimisme dan senyuman itu tanda kebahagiaan. 
Apa gunanya kita bermuram durja, apa gunanya kita cemberut, bermuka masam sambi terus menerus menyesal, meratapi ujian atau cubaan yang menghampiri kita. Bukankah itu menjadikan kita lemah, fikiran mulai kacau dan cuma lelah yang kita dapat. Alangkah ruginya jika kita terlalu mendramakan masalah yang kita hadapai.
Alangkah indahnya ketika kita mampu menghadapi segala masalah dan cubaan itu dengan tersenyum, kerana jiwa seseorang yang murah senyuman akan mendorong diri kita untuk menikmati masalah, dan mendorong otak kita berfikir jernih untuk menyelesaikan permasalahan. Senyuman mampu mengecas tenaga positif kita agar tidak terbeban untuk menghadapi permasalahan. 
Tersenyumlah, kerana orang yang mudah tersenyum dalam menjalani hidup ini bukan sahaja orang yang paling mampu membahagiakan diri sendiri, tetapi oran gyang paling mampu berbuat orang yang sanggup memikul tanggungjawab, orang yang paling berani menghadapi masalah dan memecahkan persoalan serta orang yang paling dapat menciptakan perkara bermanfaat bagi dirinya sendiri dan orang lain. 
Mulai saatini, tebarkanlah senyuman kita kepada sesiapa sahaja yang penuh ketulusan, senyum yang benar-benar timbul dari hati kita. Seberap apa pun masalah yang kita hadapi, maka tetaplah tersenyum. Tetaplah tebarkan senyuman kerana senyuman kita itu adalah ubat daripada kesedihan kita. Senyuman adalah kekuatan kiita kerana senyuman itu membawa tanda harapan masih ada...!


Tinta Nuri MW

Monday 16 April 2012

Setelah kesulitan ada kemudahan.. Insyaallah

Setelah lapar ada kenyang, haus ada kepuasan setelah berjaga malam ada tidur nenyak dan setelah sakit ada kesembuhan. Setiap yang hilang pasti ketemu, dalam kesesatan akan datang petunjuk, dalam kesulitan ada kemudahan dan setiap kegelapan akan terang-benderang.
Sampaikan khabar gembira kepada malam bahawa, sang fajar pasti datang mengusirnya dari puncak-puncak dan dasar-dasar lembah, kepada orang yang dilanda kesusahan bahawa, pertolongan akan datang secepat kilat cahaya kerdipan mata, kepada orang yang ditindas bahawa kelembutan dan dakapan hangat akan segera tiba. 
Saat kita melihat hamparan padang Sahara yang memanjang tanpa batas, ketahuilah di sebalik kejauhan itu terdapat kebun yang rimbun penuh hijau dedaun. Ketika kita melihat seutas tali meregang kencang, ketahulilah bahawa, tali itu akan segera putus. 
Setiap tangisan akan berhujung dengan senyuman, ketakutan akan berakhir dengan rasa aman dan kegelisahan akan sirna oleh kedamaian. ............

Buat sahabat bersabarlah.........

Sunday 1 April 2012

Jadikan Kritikan Tajam sebagai Penghormatan

Sang Pencipta dan Pemberi Rezeki Yang Maha Mulia, seringkali mendapat cacian dan cercaan daripada orang pandir yang tidak berakal. Maka, apalagi kita sebagai manusia yang selalu terpeleset dan salah. Dalam hidup ini, terutama jika kita merupakan seseorang yang selalu memberi, memperbaiki, mempengaruhi dan berusaha membangun, maka kita akan selalu menerima kritikan-kritikan yang pedas dan pahit. Mungkin juga, sesekali kita akan mendapat cemuhan dan hinaan daripada orang lain.
Justeru, waspadalah terhadap apa-apa yang mereka perkatakan; kuatkan jiwa untuk mendengar kritikan, cemuhan. Yang kita mampu adalah hanya mengubur dalam setiap kritikan mereka dan bersikap acuh tak acuh terhadap mereka. Dan cukup mengomentarikan setiap perkataan mereka sebagaimana yang diperintahkan Allah di dalam firmanNya;
..........matilah kamu dengan kemarahan kamu itu......... Ali Imran :119

Bahkan kita juga dapat melawan perkataan mereka yang buruk dengan diam seribu bahasa dengan cara memperbaiki akhlak dan meluruskan setiap kesalahan kita. Dan apabila kita ingin diterima oleh semua pihak, dicintai semua orang dan terhindar dari celaan......, bererti kita telah menginginkan sesuatu yang mustahil terjadi dan mengangankan sesuatu yang terlalu jauh untuk diwujudkan!

Wednesday 14 March 2012

Insafilah diri..!

Berkongsi dengan via pujangga yang katanya;
Jika berasa besar diri....
 periksa hatimu, mungkin ia sedang bengkak keegoaan sanubari.


Jika berasa suci peribadi,
periksa jiwamu, mungkin itu putihnya nanah dari luka naluri.


Jika berasa tinggi penghormatan diri,
periksa batinmu, mungkin ia sedang melayang kehilangan pijakan di bumi.


Jika berasa wangi perbuatan amalan setiap hari....,
periksa ikhlas mu, mungkin itu asap dari amal solehmu yang hangus dibakar hanya yang menguasai.


Ikhlaskan diri sama ada yang terzahir mahupun yang tersembunyi.
Jangan mengharap manusia puji, tetapi pohonlah pahala daripada Ilahi kerana....


"Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan yang keluar daripadanya. Dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya"

                                                                                                             Surah Saba' : 2

Sunday 4 March 2012

Renungkan cara kita 'diajar'!

Kita selalunya sukar untuk mengambil iktibar ke atas apa-apa kejadian yang berlaku terhadap diri kita. Kita sering menyalahkan takdir apabila perkara buruk berlaku menimpa tetapi jarang sekali mengucapkan alhamdulillah andainya kebaikan mengunjungi kita.

Perjalanan hidup kita ini adalah aturan Allah Maha Pencipta. Setiap yang berlaku itu pasti bersebab dan ada sebabnya. Tidak ada perkara yang berlaku secara sia-sia sekiranya kita mahu mengupas atau memperhatikannya dengan teliti. Sebenarnya setiap kejadian yang berlaku terhadap diri kita adalah pelajaran yang sedang diajar Allah agar kita menjadi lebih baik dan semakin baik. Walaupun perkara yang berlaku itu amat tidak kita gemari dan sekiranya boleh kita mahu mengelakkannya.
Jika kita menganggap apa-apa yang berlaku itu sebagai musibah, maka akan kekal sebagai musibah. Tetapi jika kita mahu menerimanya sebagai tanda Allah sendiri memberi 'teguran' ke atas kealpaan kita, maka akan menjadi sebuah pelajaran yang bermakna. 

Begitu juga jika yang berlaku kepada kita adalah perkara yang baik. Di dalam kebaikan itu Allah sedang mengajar kita untuk menjadi seorang yang pandai bersyukur dan menghargai kebaikan tersebut, kerana kebaikan yang diberikan jika kita menerimanya dengan perasaan riak dan banggaa diri, akhirnya akan membawa keburukan.
 
Justeru, untuk menjadi manusia yang seimbang, kita perlu seimbangkan pendirian kita terhadap apa-apa pun yang kita alami. Ketika diberi ujian yang membuatkan kita sedih, kecewa, marah atau apapun perasaan negatif, cepat-cepat beristighfar. Ingatkan diri sendiri bahawa Allah mahu kita menjadi sabar dan tenang. Sebenarnya kita sedang diajar menjadi manusia berakal dan berfikir. Dan kita mesti menggunakan akal untuk memantapkan hati.
Ketika diberi ujian kesenangan hati, keseronokan dan kesenangan dunia, lagilah banyak kita perlu beristighfar. Mohon Allah membimbing hati dan perasaan kita agar tidak sombong, tidak lupa, sentiasa muhasabah diri dan dikekalkan perasaan syukur atas segala rahmat dan nikmatNya itu. 
Begitulah cara Allah mengajar kita dalam meniti kehidupan di dunia ini dalam perjalanan menuju akhirat.....Alhamdulillaah!

Adaptasi : MW Tinta Nuri.

Sunday 26 February 2012

Kita....!

Sejauh mana kita pergi, sekuat mana pun kita lari, sesungguhnya kita tidak dapat menghindari REALITI dan kita akan jumpa diri kita sendiri akhirnya...................!

Friday 17 February 2012

Bersabarlah dengan dugaan

Mengeluh..... ,penat  melalui rutin hidup hari demi hari, terasa pening kepala memikirkan semua benda yang perlu dibereskan. ...... semuanya hanyalah sakit lahiriah, bukan batiniah. Memikirkan diri sendiri dan ummah lebih membimbangkan. Bagaimana dan apakah kesudahannya?!
Begitulah kehidupan di dunia ini, diri sering disapa Allah dengan ujian. Setiap hamba Allah itu pasti menerima ujian Allah kerana sifatnya sebagai hamba Allah. Dan tidak dapat dikatakan seseorang itu beriman jika tiada sifat sabar dalam jiwanya. Dan tiadalah seseorang itu dikatakan SABAR jika tiada dugaan yang akan menguji kesabarannya. 
Kadang-kadang kita mudah dan cepat sangat mengeluh dan berasa lelah atas semua yang menimpa dan apa-apa yang kita lakukan. Ketahuilah lambat laun, keluhan yang keluar dari bibir dan penat yang dituturkan akan membuahkan sifat malas dan rasa putus asa dalam diri kita.
Menempuh kehidupan dengan ujian Allah memberi  peringatan kepada kita bahawa ujian dan dugaan itu adalah tarbiah Allah. Ujian datang dari pelbagai arah, kecewa, dipermainkan, kegagalan, dihina. dimaki, dikhianati  juga kesakitan. Itu semua adalah kasih sayang Allah. Sebenarnya  Allah ingin mengajar kita untuk lebih tabah dan tetap pendirian. 
Ujian dan dugaan yang datang mematangkan diri kita menghadapi kehidupan. Secara tidak langsung Allah ingin memberitahu kita bahawa sesungguhnya banyak perkara yang membolehkan kita mendapat tiket untuk ke syurga-Nya.

Tuesday 7 February 2012

Semuanya bermula daripada ikhlas

Sebuah jiwa yang dibakar oleh semangat yang membara, pasti akhirnya akan menggenggam kejayaan. Jiwa yang bersemangat, jiwa yang ikhlas dan jiwa yang prihatin dalam memahat nilai-nilai kehidupan, puncak kehidupannya kelak sudah pasti menyandangkan kebahagiaan di dunia dan mendapat rahmatan alamin di akhirat. Bagaimana kita mampu mencapai kedua-dua kejayaan itu?

Semuanya bergantung pada sekeping hati. Keikhlasan dalam menunaikan apa-apa pun amanah dan tanggungjawab yang diberikan adalah tanda-tanda mereka yang akan mendapat kejayaan itu. Apabila kita mampu membuat orang lain tersenyum puas dengan apa yang kita berikan, akhirnya kebaikan itu akan datang kembali kepada kita. 

Hidup ini umpama dunia kita yang bulat. Apabila berpusing, pusat penamatnya adalah di mana tempat ia bermula. Jika kita yang memulakan maka ia akan kembali kepada kita. Fikir-fikirkanlah......


Thursday 2 February 2012

Tugasan Pelajar Major BM Semester 3 - Minggu ke 7

Assalamualaikum anak-anak didik yang dikasihi. (Pelajar PISMP Major BM sem 3)
Tugasan berikut perlu diselesaikan pada minggu 7 . Buat secara berkumpulan dan tugasan akan dibentangkan pada minggu ke 8 interaksi kuliah nanti.

Arahan: Dalam kumpulan masing-masing rancangkan satu aktiviti pemulihan di dalam kelas mengikut kategori berikut: 

Kumpulan 1 :                      suku kata - kv
                                              kvk
                                              kvkk  (kv + digraf)
Kumpulan 2 :  Perkataan 
                                             i.  kv + kv, v + kv, kv + kv  + kv
               
                                            ii.  kvk, v + kvk, kv + kvk, kvk + kv
                                                 kvk  + kvk,  kv + kv + kvk,
                                                 kvk + kv + kvk

Kumpulan 3 : Perkataan
                         kvkk, kvk + kvkk, v + kvkk, kvk + kvkk,
                         kvkk + kv, kvkk + kvk, kvkk + kvkk, 
                         kv + kvk + kvkk, kvk + kv + kvkk, 
                         kvkk + kv + kv + kvk, kv + kvkk + kvk.

Kumpulan 4 : Perkataan yang melibatkan diftong dan vokal berganding.

Kumpulan 5 : Perkataan yang melibatkan huruf konsonan bergabung (diagraf)

Kumpulan 6 : Membaca dan membina ayat mudah.
                     Bacaan dan pemahaman.


Tuesday 31 January 2012

Bicara emas

 Dunia pendidikan mengalami perkembangan yang sangat dinamik dalam arus globalisasi. Kaedah dan pendekatan pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa pertama memerlukan penguasaan ilmu pedagogi yang baik dalam kalangan pendidik.
Kepelbagaian pengajaran dan pembelajaran menerusi teknik-teknik yang menarik hendaklah difikirkan sebelum guru masuk dan mengajar di dalam kelas. Minat dan kecerdasan yang berbeza dalam kalangan murid turut diberi perhatian. 
Justeru dalam setiap perancangan pengajaran dan pembelajaran guru, perlu difikir dan dirancang juga aktiviti pengayaan dan pemulihan yang hendak dilaksanakan dalam pengajaran bahasa Melayu. Untuk memahami lebih mendalam konsep pengayaan dan pemulihan dalam pengajaran bahasa Melayu, bolehlah melayari pautan yang disediakan.

Pengayaan dan Pemulihan