ILMU ITU PERLU DIKONGSI DAN DIAMALKAN

Wednesday 8 August 2012

Ketika sibuk menghitung pahala....

Sinar Ramadhan makin ke penghujungnya. Alhamdulillah mampu lagi kita mengucup harum dan wanginya Ramadhan untuk kali ini. Sebuah kedatangan yang ditunggu-tunggu dengan resah, apakah sempat mengulangi keindahannya lagi selepas dia pergi setahun nan lalu. SYUKUR! itulah kalimah yang terbaik untuk diucapkan kerana sudah ramai saudara-mara, sahabat handai dan rakan taulan yang bersama-sama menyirami suburnya Ramadhan tahun lalu, tetapi kali ini mereka sudah tiada. Mereka sudah pergi seperti perginya Ramadhan yang lalu. Pergi yang tiada kembali lagi. 

Dengan  baki Ramadhan yang akan berpenghujung, marilah kita berpuasa dalam erti kata yang sebenar. Berpuasa kerana Allah. Hilangkan segala penyakit hati dan bisikan-bisikan halus yang sering menjadi penghalang segala kebaikan yang mahu kita lakukan. Memang bukan senang kerana kita manusia biasa. Tetapi apabila kita berniat untuk berbuat baik kerana Allah, pasti Allah akan membantu kita meluruskan jalan itu.

Namun perlu diingat, dalam perbuatan baik, kadang kala terpancar sikap riak yang tidak kita sedari. Kerana itu, apabila kita berbuat baik atau menghulurkan kebaikan kepada orang lain atau pada diri sendiri, lakukan dengan penuh keikhlasan. Tidak ada niat lain selain ikhlas. Sebenarnya diri kita kadang kala sukar untuk dinasihati kerana kita tidak nampak kepincangannya. Jangan juga percaya pada pantulan diri di dalam cermin, kerana cermin hanya memantulkan rupa luaran. Rupa dalaman tersimpan dalam sebuah balutan yang tidak terpandang dek mata. Disebabkan itu, kita wajib mendidik dalaman diri sendiri sebelum berusaha mendidik orang lain.Jangan juga kita memandang remeh nasihat dan teguran yang diberikan, kerana daripada nasihat itu kita boleh bermuhasabah diri. Kita juga perlu beringat, jangan terlalu asyik menghitung pahala yang bakal diterima sebagai balasan kebaikan yang dibuat, kerana pahala bukan hak kita untuk menilainya. Hargailah kasih yang diberikan dengan kasih sayang yang ikhlas kerana itulah laluan sebuah bahagia.....!

Tak salah memburu kasih andai masih ada yang sudi memberinya....! 

Tuesday 7 August 2012

Sukarnya memahami HATI

Di sebalik air mata, pasti akan datang senyuman. Di sebalik luka pasti akan datang penyembuh. Di sebalik kesabaran pasti akan datang kebahagiaan. Di sebalik kesulitan pasti akan datang kemudahan.Di sebalik kebencian pasti akan datang kasih sayang. Kesabaran  membuahkan hasil yang sangat manis. Sesungguhnya Allah bersama-sama hamba-Nya yang sabar. 

Maafkanlah, walaupun hati tidak mampu bertahan. Maafkanlah, walaupun hati terpaksa menanggung keperitan. Maafkanlah, walaupun  hati berkata tidak. Maafkanlah, walaupun hati sering disakiti.Maafkanlah, walaupun hati berasa terpaksa. Memaafkan itu lebih baik daripada berdendam kerana dendam itu hanya menambah kesakitan hati yang telah disakiti!!!


HATI: Maafkanlah ......
 


Saturday 4 August 2012

Berkongsilah nikmat ini.....!

Ramadhan.... waktu tengah harinya pasti para wanita yang bergelar isteri akan berbual dan bercerita tentang apa yang ingin dimasak, atau dibeli petang nanti. Topik lain sudah tidak popular dan tidak hangat lagi dibualkan.Mungkin ini lebih baik daripada bergossip tentang orang lain. Bukan orang perempuan sahaja yang sibuk bercertia tentang resepi sedap untuk berbuka, tetapi orang lelaki pun terdorong untuk menjadi tukang masak sendiri. Paling tidak pun, mereka tiba-tiba pandai memesan makanan keinginan pada isteri masing-masing.
Berpuasa bagaikan memberi peluang kepada seseorang 'menjamu' dirinya dengan juadah enak apabila tiba waktu berbuka. Itulah 'kelebihan' puasa yang dapat kita lihat dengan jelas. Jika tidak, masa kan tapak-tapak bazar Ramadhan bagaikan berpesta. Biarpun saranan agar umat islam tidak terlalu mengikut nafsu dan menghayati makna Ramadhan, namun godaan tetap muncul sebaik tiba di tapak bazar Ramadhan. Ramadhan memungkinkan manusia menjadi kreatif dengan menyediakan pelbagai hidangan yang enak dan menyelerakan...!
Keadaannya memang sangat meriah tetapi itukah yang dituntut dalam amalan kita mengerjakan ibadah puasa ini? Ada yang berpendapat jika semuanya sama seperti hari biasa, di mana pula bezanya antara bulan mulia ini berbanding bulan-bulan lain. Jika kita melihat puasa sebagai satu ibadah, semuanya akan terasa lain. Kerana kemuliaan dan keistimewaan Ramadhan terletak pada keberkatannya. Segala amalan kebaikan, pahala yang diterima berlipat kali ganda. Kejayaan menahan nafsu dalam erti kata sebenar adalah kejayaan dan keistimewaan yang sukar diperoleh selain Ramadhan.
Kita boleh menikmati hidangan istimewa tanda betapa bersykurnya kita menerima kedatangan bulan Ramadhan, tetapi dalam masa yang sama kita harus ingat, ketika kita menjamu selera sendiri, adalah jiran kita juga sedang makan seperti kita atau adalah kita sudah memberikan hak kepada anak-anak yatim dan orang - orang susah rasa nikmat makan itu? Jika menikmati semua ini sendirian dan terlupa berkongsi berkongsi rezeki itu dengan mereka yang memerlukan, dimanakah sikap prihatin dan belas kasih kita? Rezeki yang kita hulurkan kepada mereka yang sepatutnya menerima, akan mencerminkan betapa kita benar-benar memuliakan dan mengistimewakan bulan Ramadhan ini. Apabila kita makan berkongsi, nikmatnya bukan sekadar terasa di kerongkong tetapi nikmat itu akan meresap ke seluruh rohani kita. Nikmat yang bakal dikutip di sana kelak. Tidak mahukah kita berkongsi nikmat rezeki itu? Peluang sedang terbuka, marilah kita sama-sama merebutnya.....

Bagaimana agaknya orang yang kuali dan periuknya dipinjam sang beruk hendak memasak untuk juadah berbuka!?!???


Adaptasi : MW