ILMU ITU PERLU DIKONGSI DAN DIAMALKAN

Monday 19 August 2013

Carilah Kejernihan Hati

Matahari terakhir Ramadhan 1434 sudahpun tenggelam di ufuk barat. Senja Ramadhan yang terakhir kali ini berbalam bersama-sama sahutan takbir Syawal yang sungguh mendayu. Satu perasaan yang sukar digambarkan menyelinap masuk ke dalam sanubari.Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana masih diberi kesempatan melewati Ramadhan. Walaupun tidak sempurna lantaran terpaksa menjalani pembedahan pada awal Ramadhan yang lalu. Hati sering tertanya-tanya apakah masih ada peluang menyambut Ramadhan pada tahun mendatang? Semuanya kuasa Allah!

Semoga perjuangan kita melawan segala nafsu dqn kehendak diri telah berjaya. Semoga kesenduan hati kita ketika menyambut kedatangan fajar Syawal di ufuk timur, seputih hati kanak-kanak yang tidak bergelumang dosa.Tasbih, tahmid dan takbir berkumandang di serta tempat memuji kebesaran Allah dan secara tidak langsung memberitahu betapa kerdilnya kita disisiNya. Marilah kita jadikan syawal ini sebagai masa untuk memohon keampunan kepada Allah dan meminta kemaafan sesama kita. Sudah tentu masih tersisa rasa berdosa dalam diri, sama ada kepada Sang Pencipta atau kepada orang yang kita kenali, tidak kira ibu bapa, pasangan, anak-beranak, adik-beradik saudara-mara, rakan taulan apalagi kepada yang memusuhi kita.

Inilah masanya untuk kita membersihkan dosa-dosa yang  tidak kelihatan ini. Dosa di dalam hatilah yang sukar untuk dihapuskan. Kadangkala kita tidak perasan pun bahawa kita sedang menilai atau memburukkan orang lain di dalam hati sendiri. Kita tidak redha dengan apa yang berlaku, sering rasa kita yang betul, riak dan bermegah dengan perkara yang baik yang sudah kita lakukan. Dosa-dosa ini, biarpun tidak jelas pada orang lain, tapi sentiasa jelas di mata Allah. Kita jangan terlalu ego dan riak dengan berasakan hanya kita sahaja yang betul dan kata-kata kita sahaja yang patut dituruti kerana di sisi kita Allah telah kurniakan seseorang, sebagai tempat untuk berkongsi segala keseronokan dan kedukaan. 

Semoga kedatangan Syawal ini kita akan sama-sama dapat menikmati betapa seronoknya hidup dalam ikatan kasih sayang yang ikhas kerana Allah. Sayang pada keluarga, pasangan, saudara seagama dan sahabat taulan. 

Marilah kita sama-sama berdoa agar ada Ramadhan lagi untuk kita selepasa ini supaya kita dapat lagi meraikan Syawal. Amin!

Sayang Iz: Syawal menjadi suram dan kelam setelah dimaklumkan oleh doktor pakar " Maaf puan, kanser puan sebenarnya sudah berada di tahap 4, puan perlu pemerhatian pakar sepanjang hidup puan". Ketika itu air mata sudah tiada erti lagi! Ya, Allah .......