ILMU ITU PERLU DIKONGSI DAN DIAMALKAN

Saturday, 9 February 2013

Apabila banyak mengkritik orang lain

Setiap hari kita pasti akan mendengar pelbagai kisah hidup. Bermula dari kisah yang menggembirakan hingalah kisah yang membawa duka nestapa. Kita mungkin memikirkan yang kita beruntung menjadi pendengar cerita suka dan duka tanpa membayar apa-apa pun. Tetapi kita mungkin lupa yang dalam cerita itu, mungkin banyak cerita kritikan tentang perihal sikap atau perangai orang lain.
Kita begitu mudah melihat kesalahan yang dilakukan oleh orang lain tanpa kita menilai kesalahan yang kita lakukan sendiri. Kita gemar memberi komen atas orang lain namun jarang sekali memberi komen terhadap diri sendiri.
Satu hal yang mungkin kurang kita amati hasil dari mengkritik orang lain adalah penanaman sikap negatif yang mula mengambil tempat dalam minda bawah sedar kita. Apabila kita terlalu rajin mengkritik orang lain, di mata kita semua orang melakukan keburukan atau kita suka memperlekehkan orang lain, tanpa kita sedari secara tidak langsung kita melakukan hukum pengulangan. Hukum pengulangan menyatakan bahawa sesuatu perkarra yang dilakukan secara berulang kali akan membawa kepada satu keterbiasaan. Keterbiasaan ini pula akan membawa kepada satu perubahan fisiologi yang baru tidak kira sama ada positif atau negatif. Apabila kita sering berkata nista, maka kita sebenarnya menanam secara perlahan-lahan tetapi utuh akan kata-kata nista itu di dalam minda bawah sedar kita hingga akhirnya kita menjadikannya satu sikap baru.
Jika kita merasakan yang kita dikritik, maka mulai hari ini fahamlah bahawa mereka yang memberi kritikan itu juga tidak terselamat dari hukuman. Biar sekecil mana kebaikan tetap juga mendapat balasan, begitulah sebaliknya. Kita perlu hidup dalam kasih sayang. Kita boleh memberi nasihat tetapi bukan kecaman. Kita boleh memberi nasihat kerana Allah SWT dan bukan atas kehendak diri.

Sayang Iz:Kita perlu ingat bahawa apa yang kita katakan itu adalah satu saranan untuk diri kita supaya bersikap sedemikian di akhirnya nanti................!

Saturday, 2 February 2013

Terbaik!

Jika semua yang kita kehendaki terus kita miliki, maka dari mana kita belajar ikhlas. Jika semua yang kita impikan segera terwujud, maka dari mana kita belajar ikhlas. Jika setiap doa kita terus dimakbulkan, maka bagaimana kita dapat belajar ikhtiar. Dan...
Jika hidup kita selalu bahagia, maka bagaimana kita dapat kenal Allah dengan lebih dekat.Yakinilah dan percaya segala ketentuanNya adalah terbaik untuk kita!


Sayang Iz: Dalam kenanganan..........

Saturday, 19 January 2013

Kasih sayang tanpa syarat


Ada kalanya dalam hidup ini perasaan kasih sayang yang ada masih belum mencukupi. Lebih-lebih lagi apabila kasih sayang itu dilingkari dengan syarat-syarat tertentu. Ia masih belum mampu mengubah persekitaran yang ada. Apa yang diperlukan adalah kasih sayang yang lebih tulus dan kudus, kasih sayang tanpa syarat.
Bukankah kasih sayang Allah pada kita tanpa syarat. Dia menjadikan kita dengan sempuran tanpa mengharapkan apa-apa daripada kita. Kalau dihitung segala pemberian Allah kepada kita, maka tidak habis  kita hendak menghitung pemberian Allah itu. Demikianlah kasih sayangNYA pada kita.
Begitu juga seharusnya  yang berlaku dalam cetusan emosi kasih sayang sesama insan mengikut prinsip yang sama. Kasih sayang di antara seorang ibu dan anak bukanlah kerana ibu mengharapkan masa tua, anak akan membalas jasa ibu, kasih sayang sahabat kepada sahabat bukanlah kerana ingin memilikinya.
Namun begitu, persengketaan sesama insan sering menenggelamkan perasaan kasih sayang. Persekitran hidup yang sebelumnya indah, akhirnya dipenuhi dengan perasaan kebencian, dendam, cacian dan sebagainya. Segala kebaikan yang pernah dicurahkan, semua terpadam daripada ingatan. Perkara yang berlegar-legar di fikiran hanya rancangan-rancangan negatif yang bakal menambah kelukaan jiwa ke tahap yang lebih parah.
Tapi, jangan kita terlupa suatu hari nanti  setiap patah kata yang kita ujarkan untuk menghina orang lain sebenarnya akan menunjukkan kelemahan dan kekurangan diri kita sendiri.
Justeru dalam mengharungi apa jua kemelut yang berlaku, hidup dan suburkan kembali rasa kasih dan sayang ini. Nilai kasih dan sayang ini perlu ditingkatkan lagi ke tahap yang lebih bermakna iaitu sayang yang tidak bersyarat atau KASIH SAYANG TANPA SYARAT.

Sayang Iz: Bila kita sudah tiada nanti pasti  ada yang berkata " kalaulah  dia ada....."

Saturday, 5 January 2013

Dengar Suara Hati

Ketika seseorang dilanda masalah, kadangkala ia sukar mengenal pasti punca masalah yang dihadapi. Pada waktu itu ia memerlukan orang lain untuk membantu. Orang luar mungkin nampak masalah yang ada berbanding diri yang sedang berada dalam masalah. 
Kadang kala yang terindah bukanlah yang terbaik. Yang kelihatan sempurna tak menjanjikan bahagia. Namun jika kita dapat terima kekurangan menjadi kelebihan, maka itulah dikatakan kesempurnaan yang sebenar. 
Ada kalanya pula, kita perlu menangis agar kita tahu hidup ini bukan sekadar ketawa. Dan... adakalanya kita perlu ketawa agar kita tahu mahalnya nilai air mata. 
Bersyukurlah pada orang yang menyakiti kita kerana dia yang membuat kita tabah. Bersyukur pada orang yang tak mengendahkan kita kerana dia orang yang memperhebatkan kemampuan kita. Bersyukurlah pada orang yang menyeksa kita kerana dia yang menguji kesabaran dan ketabahan kita!

Sayang Iz: Apabila berpura-pura menjadi kuat, tiada siapa yang melihat air mata yang tersembunyi melainkan Allah!

Monday, 31 December 2012

7 Huruf Keramat.

ALLAH aturkan antara kita 1 pertemuan ditetapkan 2 hati. Dalam 2 hati diberikan 4 rasa. BERKENALAN, BERTEMAN, BERKAWAN dan BERSAMA. Dalam 4 perkara itu tersembunyi 5 perkataan iaitu;
SAYANG, KEKAL, SETIA, MENGERTI, MENGHARGAI dan MENGINGATI.  7 huruf keramat iaitu;
                                   SAHABAT.

Dan ketika ini sahabat ini faham kenapa puisi ini ditulis;
Jika ku pergi 
usah basahkan pipi mungelmu dengan air mata
kerana pamitku sementara
bagaikan seekor camar
yang singgah bertenggek di tiang-tiang kapal
tegak berdiri menerjah biru langit
simpan air matamu
kerana perlisahan di sini
umpama surut air laut meninggalkan bibir pantai
yang resah ditikam panas mentari
sambil menanti air laut kembali lagi
usah titiskan air matamu pada sebuah kehilangan
tapi basahkan air matamu pada setiap kenangan
yang sama kita lukiskan di garis langit
sambil itu kuharap
sewaktu rindu bertaut
kau renjiskan kenangan dengan wangian zikirullah
kerana pergiku kali ini adalah satu kepastian!

Persahabatan kekadang sakit apabila disalahertikan.....
 

Tuesday, 25 December 2012

Emosi dan emosional

Setiap detik sepanjang 24 jam laluan drama kehidupan yang dilakonkan oleh kita, pasti akan penuh dengan emosi. Tak sesaat pun kita meninggalkan emosi. Kita akan beremosi apabila kita suka. Emosi juga lebih ketara dizahirkan apabila kita berduka. 'Emosional' yang kadang-kadang buat kita lupa, bahawa tindakan kita yang mengguris hati dan perasaan.....

Namun,

Dalam sabar ada maaf, dalam sabar ada redha, dalam sabar ada syukur, dalam sabar ada usaha, tawakal dan takwa. Dalam sabar tiada kedengkian, tiada keluhan, tiada putus asa. Dengan sabar, hati jadi tenang dan makin dekat pada-Mu.

Dan... Allah SWT mencintai orang-orang yang sabar!

Kadang kala Allah tarik sesuatu daripada kita kerana Dia ingin berikan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Apabila kita REDHA pada sesuatu yang mengecewakan hati kita, maka percayalah ALLAH SWT akan menggantikan kekecewaan itu dengan sesuatu yang tidak dijangka....! 

Rahsia ini telah lama aku pendamkan.......

Monday, 10 December 2012

Siapa Kita?!

Berjalan menelusuri kehidupan yang pasti akan berakhir membawa banyak kutipan pahala dan dosa, begitu juga suka dan duka. Tanpa kita sedar, ada kalanya kita dihadapkan dengan pelbagai dugaan dan cabaran yang tiada siapa pun di dunia ini berkehendakkannya. Kita bersedih dan berduka tanpa kita tahu rupanya itulah jalan menempuh syurga....Keriangan dan kegembiraan yang tanpa kita sedar adakalanya adalah pembuka kepada jalan neraka!

Kadang-kadang kita terlalu banyak merancang, tetapi kurang memohon untuk diperkenankan. Kadang-kadang kita terlalu banyak berfikir tetapi kurang tawakal. Kadang-kadang kita terlalu banyak risau dan kurang optimis. Kerana kadang-kadang kita terlupa ujian itu tarbiah Allah. 

Jangan bermimpi mencipta kebahagiaan, jika tidak mampu memupuk sabar melalui kekecewaan. Jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan, jika tidak mahu berusaha untuk memperbaiki diri melalui kesalahan. Jangan mendambakan dan meminta berlebih-lebihan, jika tidak tahu untuk bersyukur dan berterima kasih atas pemberianNya. 

Justeru, jawapan mudahnya ialah kita semua adalah hamba Allah yang perlu taat kepadaNYA...

Merindui kegembiraan lalu..........