ILMU ITU PERLU DIKONGSI DAN DIAMALKAN

Sunday 4 March 2012

Renungkan cara kita 'diajar'!

Kita selalunya sukar untuk mengambil iktibar ke atas apa-apa kejadian yang berlaku terhadap diri kita. Kita sering menyalahkan takdir apabila perkara buruk berlaku menimpa tetapi jarang sekali mengucapkan alhamdulillah andainya kebaikan mengunjungi kita.

Perjalanan hidup kita ini adalah aturan Allah Maha Pencipta. Setiap yang berlaku itu pasti bersebab dan ada sebabnya. Tidak ada perkara yang berlaku secara sia-sia sekiranya kita mahu mengupas atau memperhatikannya dengan teliti. Sebenarnya setiap kejadian yang berlaku terhadap diri kita adalah pelajaran yang sedang diajar Allah agar kita menjadi lebih baik dan semakin baik. Walaupun perkara yang berlaku itu amat tidak kita gemari dan sekiranya boleh kita mahu mengelakkannya.
Jika kita menganggap apa-apa yang berlaku itu sebagai musibah, maka akan kekal sebagai musibah. Tetapi jika kita mahu menerimanya sebagai tanda Allah sendiri memberi 'teguran' ke atas kealpaan kita, maka akan menjadi sebuah pelajaran yang bermakna. 

Begitu juga jika yang berlaku kepada kita adalah perkara yang baik. Di dalam kebaikan itu Allah sedang mengajar kita untuk menjadi seorang yang pandai bersyukur dan menghargai kebaikan tersebut, kerana kebaikan yang diberikan jika kita menerimanya dengan perasaan riak dan banggaa diri, akhirnya akan membawa keburukan.
 
Justeru, untuk menjadi manusia yang seimbang, kita perlu seimbangkan pendirian kita terhadap apa-apa pun yang kita alami. Ketika diberi ujian yang membuatkan kita sedih, kecewa, marah atau apapun perasaan negatif, cepat-cepat beristighfar. Ingatkan diri sendiri bahawa Allah mahu kita menjadi sabar dan tenang. Sebenarnya kita sedang diajar menjadi manusia berakal dan berfikir. Dan kita mesti menggunakan akal untuk memantapkan hati.
Ketika diberi ujian kesenangan hati, keseronokan dan kesenangan dunia, lagilah banyak kita perlu beristighfar. Mohon Allah membimbing hati dan perasaan kita agar tidak sombong, tidak lupa, sentiasa muhasabah diri dan dikekalkan perasaan syukur atas segala rahmat dan nikmatNya itu. 
Begitulah cara Allah mengajar kita dalam meniti kehidupan di dunia ini dalam perjalanan menuju akhirat.....Alhamdulillaah!

Adaptasi : MW Tinta Nuri.

No comments:

Post a Comment