ILMU ITU PERLU DIKONGSI DAN DIAMALKAN

Wednesday, 8 August 2012

Ketika sibuk menghitung pahala....

Sinar Ramadhan makin ke penghujungnya. Alhamdulillah mampu lagi kita mengucup harum dan wanginya Ramadhan untuk kali ini. Sebuah kedatangan yang ditunggu-tunggu dengan resah, apakah sempat mengulangi keindahannya lagi selepas dia pergi setahun nan lalu. SYUKUR! itulah kalimah yang terbaik untuk diucapkan kerana sudah ramai saudara-mara, sahabat handai dan rakan taulan yang bersama-sama menyirami suburnya Ramadhan tahun lalu, tetapi kali ini mereka sudah tiada. Mereka sudah pergi seperti perginya Ramadhan yang lalu. Pergi yang tiada kembali lagi. 

Dengan  baki Ramadhan yang akan berpenghujung, marilah kita berpuasa dalam erti kata yang sebenar. Berpuasa kerana Allah. Hilangkan segala penyakit hati dan bisikan-bisikan halus yang sering menjadi penghalang segala kebaikan yang mahu kita lakukan. Memang bukan senang kerana kita manusia biasa. Tetapi apabila kita berniat untuk berbuat baik kerana Allah, pasti Allah akan membantu kita meluruskan jalan itu.

Namun perlu diingat, dalam perbuatan baik, kadang kala terpancar sikap riak yang tidak kita sedari. Kerana itu, apabila kita berbuat baik atau menghulurkan kebaikan kepada orang lain atau pada diri sendiri, lakukan dengan penuh keikhlasan. Tidak ada niat lain selain ikhlas. Sebenarnya diri kita kadang kala sukar untuk dinasihati kerana kita tidak nampak kepincangannya. Jangan juga percaya pada pantulan diri di dalam cermin, kerana cermin hanya memantulkan rupa luaran. Rupa dalaman tersimpan dalam sebuah balutan yang tidak terpandang dek mata. Disebabkan itu, kita wajib mendidik dalaman diri sendiri sebelum berusaha mendidik orang lain.Jangan juga kita memandang remeh nasihat dan teguran yang diberikan, kerana daripada nasihat itu kita boleh bermuhasabah diri. Kita juga perlu beringat, jangan terlalu asyik menghitung pahala yang bakal diterima sebagai balasan kebaikan yang dibuat, kerana pahala bukan hak kita untuk menilainya. Hargailah kasih yang diberikan dengan kasih sayang yang ikhlas kerana itulah laluan sebuah bahagia.....!

Tak salah memburu kasih andai masih ada yang sudi memberinya....! 

No comments:

Post a Comment