ILMU ITU PERLU DIKONGSI DAN DIAMALKAN

Wednesday 4 September 2013

Harga Sebuah Kemaafan

Hati kita pasti dirundung kesedihan dan kepayahan apabila diuji dengan ketidakjujuran dan penindasan. Lebih menyedihkan apabila peribadi individu tersebut bukanlah orang asing sebaliknya individu yang pernah cukup rapat dan dikenali.
Ibarat gunting dalam lipatan, namun itulah perjalanan kehidupan. Kita ditarbiah dengan pelbagai situasi sebagai panduan untuk mendepani hari-hari mendatang . Pujuklah hati.... berlumba-lumbalah untuk selalu memberi maaf. Hal ini menjadi kayu ukur untuk menilai kualiti sebenar seorang hamba sama ada telah mempraktiskan sifat pemaaf yang diajar oleh Rasulullah s.aw. atau tidak. Ketahuilah, harga sebuah kemaafan itu lebih bernilai daripada terus membangga diri dengan menyatakan "aku tidak bersalah apa-apa pun!"
Curilah perhatian Allah dengan mengamalkan sifat pemaaf. Bukankah Allah juga Maha Lembut dengan memaafkan kesalahan hambaNya? Apabila kita mendahului memberi kemaafan kepada individu yang menganiayai diri, ini bukan bererti kita bersetuju dengan perlakuan tidak adilnya. Tindakan yang salah sehingga mencalar hak Muslim lain tetap salah dan melanggar syariat Islam.Namun, apabila kita mampu dan berbesar hati untuk memberi maaf, itulah kemuncak agung yang menggambarkan kekentalan iman dan takwa seseorang.
Bersegeralah untuk memberi kemaafan walaupun kita berpotensi untuk membalas kejahatan. Bijaklah dalam membuat tindakan. Jangan terjatuh dan tersalah dalam kesilapan yang sama.Membalas kejahatan dengan kejahatan, natijahnya pasti sama; rugi di dunia dan diakhirat. Besarkan hati dengan memberi maaf kerana hal itu bukanlah menundukkan keegoaan tetapi sebaliknya mencontohi sifat Allah: Ghafur (Maha Pengampun) dan Rahim (Maha Penyayang)!

Sayang Iz: Ketahuilah orang yang memberi maaf itu berjiwa besar..... Ya Allah berikanlah aku kekuatan untuk memaafkan mereka yang melakukan kesalahan terhadap aku!

No comments:

Post a Comment