ILMU ITU PERLU DIKONGSI DAN DIAMALKAN

Sunday, 17 February 2013

Wahai Hati, senyumlah dengan kejahatan orang!

Perjalanan kehidupan...
mengubah setiap deria-deria yang ada. Mengubah rasa hati... kekadang membuat hati basah dengan kisah-kisah kelmarin..... dan sesekali hati terasa begitu kering..... sekering danau di musim kemarau! Hati ini mudah terluka, sukar diubati. Namun, aku masih punya sisa-sisa air mata, sendiri memikul segala rasa,melangkah membawa sejuta luka... luka-luka semalam yang tak pernah akan hilang, luka-luka yang penuh kesan air mata. Kehidupan, kematian dan segalanya telah menjadi ketetapan yang maha Esa. Aku hanya harus akur, sama sekali tidak mampu untuk menolak, menafi dan tiada daya untuk menghalang.Hanya yang mampu aku harus kuat hadapi sebarang kemungkinan... kerana semua yang berlaku dan yang akan berlaku ada yang tersirat di sebaliknya! 

Kegembiraan, kemeriahan, keindahan, kesyahduan, kesyukuran dan pelbagai rasa hati dan perasaan, letaknya di hati kita. Pelbagai kalimat ini, memerlukan hati yang lapang untuk menampungnya. Jika sempit hati, bagaimana mampu menampung segala perasaan tersebut? Antara perasaan yang memberatkan hati dan menyempitkan jiwa adalah kemarahan. Api kemarahan, apabila marak akan membakar segala ruang yang diperlukan dalam jiwa seseorang. Memberi kemaafan ada kalanya lebih berat daripada memikul batu di bahu. Lebih-lebih lagi jika hati telah keras membatu, bersalut dengan dendam dan kebencian. Kemaafan akan membuka pintu kelapangan dalam jiwa. Jiwa pemaaf akan mengecap kelapangan perasaan terhadap saudara yang lain. Kelapangan perasaan adalah rahsia kebahagian hidup insan. Insan pemaaf akan menikmati kelapangan jiwa, hati dan perasaan. Kelapangan hati inilah rahsia kelapangan hidup sebenar.....!

Sebaik manapun kita, perkataan buruk akan tetap kita terima sama ada kita sedari ataupun tidak. Manusia memang suka mencungkil keburukan berbanding kebaikan. Usah hairan dengan sikap manusia bercerita perkara buruk tentang orang lain. Sememangnya mutakhir ini wartawan tanpa tauliah dan tanpa gaji memang banyak di mana-mana. Mengapa orang berbuat jahat terhadap kita? Mereka mahu melihat kita sedih, menangis, marah, mengamuk dan semua sikap yang tidak baik. Dengan itu mereka ada sebab untuk ketawa. Tetapi andai kita boleh senyum kalaupun tidak ketawa, kita sebenarnya telah menyebabkan mereka terjelepok... Mereka akan susah hati dan berasa payah sekali. Nah, mengapa hendak menangis oleh perlakuan jahat manusia sebaliknya bersikap tenang dan ketawalah, kerana sebenarnya kita telah mengembalikan kesakitan kepada mereka...!
 Sayang Iz: Kerana hati telah letih.........



Friday, 15 February 2013

Bahaya dan Bahana Lidah

Lidah manusia sangat tajam. Ketajaman lidah tidak sama seperti ketajaman mata pedang. Luka akibat mata pedang mungkin akan sembuh, namun luka akibat ketajaman lidah seseorang sukar disembuhkan.

Firman Allah Taala dalam surah al-Hujurat ayar 12 memadai menunjukkan kekuatan larangan mengumpat iaitu senjata yang menggunakan lidah.
"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh sebab itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut dan bertaqwalah kamu kepada Allah. 

Mengumpat sepertimana pandangan al-Ghazali dan diikuti oleh al-Nawawi dijelaskan dengan makna seseorang menyebut tentang sesuatu perkara mengenai orang lain yang tidak disukai olehnya. Sama ada berkaitan tubuh badan, agama, dunia, diri, jasad, perangai, harta, bapa, anak,isteri, suami, gerak geri, pakaian, diam dan lain-lain yang berkaitan dengan seseorang.
Begitu juga sama ada dengan lafaz, isyarat mata, atau sebagainya. Pendek kata, semua perkara yang kita lakukan yang boleh melukakan hati saudara kita sekiranya dia mengetahui hal tersebut, maka itu adalah mengumpat. Sesungguhnya mengumpat adalah riba yang paling dahsyat dengan mencerobohi maruah seseorang muslim dengan tanpa hak.!
Sayang Iz: Marah itu mudah, sabar itu indah. Memafkan secara lahiriah belum pasti memperoleh kemaafan secara batiniah!

Saturday, 9 February 2013

Apabila banyak mengkritik orang lain

Setiap hari kita pasti akan mendengar pelbagai kisah hidup. Bermula dari kisah yang menggembirakan hingalah kisah yang membawa duka nestapa. Kita mungkin memikirkan yang kita beruntung menjadi pendengar cerita suka dan duka tanpa membayar apa-apa pun. Tetapi kita mungkin lupa yang dalam cerita itu, mungkin banyak cerita kritikan tentang perihal sikap atau perangai orang lain.
Kita begitu mudah melihat kesalahan yang dilakukan oleh orang lain tanpa kita menilai kesalahan yang kita lakukan sendiri. Kita gemar memberi komen atas orang lain namun jarang sekali memberi komen terhadap diri sendiri.
Satu hal yang mungkin kurang kita amati hasil dari mengkritik orang lain adalah penanaman sikap negatif yang mula mengambil tempat dalam minda bawah sedar kita. Apabila kita terlalu rajin mengkritik orang lain, di mata kita semua orang melakukan keburukan atau kita suka memperlekehkan orang lain, tanpa kita sedari secara tidak langsung kita melakukan hukum pengulangan. Hukum pengulangan menyatakan bahawa sesuatu perkarra yang dilakukan secara berulang kali akan membawa kepada satu keterbiasaan. Keterbiasaan ini pula akan membawa kepada satu perubahan fisiologi yang baru tidak kira sama ada positif atau negatif. Apabila kita sering berkata nista, maka kita sebenarnya menanam secara perlahan-lahan tetapi utuh akan kata-kata nista itu di dalam minda bawah sedar kita hingga akhirnya kita menjadikannya satu sikap baru.
Jika kita merasakan yang kita dikritik, maka mulai hari ini fahamlah bahawa mereka yang memberi kritikan itu juga tidak terselamat dari hukuman. Biar sekecil mana kebaikan tetap juga mendapat balasan, begitulah sebaliknya. Kita perlu hidup dalam kasih sayang. Kita boleh memberi nasihat tetapi bukan kecaman. Kita boleh memberi nasihat kerana Allah SWT dan bukan atas kehendak diri.

Sayang Iz:Kita perlu ingat bahawa apa yang kita katakan itu adalah satu saranan untuk diri kita supaya bersikap sedemikian di akhirnya nanti................!